News & Event

event we manage and our daily work

7 Tips Persediaan Sebelum Ke Pameran Pengantin

7 Tips Persediaan Sebelum Ke Pameran Pengantin

Bagi calon pengantin pasti ingin majlis resepsi anda berlangsung dengan sempurna tanpa cacat cela. Apa kata anda dan pasangan mencari idea dengan mengunjungi pameran perkahwinan. Dengan cara itu anda dan pasangan mendapat sedikit idea untuk membuat persiapan majlis resepsi yang bakal berlangsung.

Ada beberapa tip yang perlu pasangan pengantin praktikkan ketika anda berdua mengunjungi pameran perkahwinan. Moga ia dapat membantu anda dan pasangan membuat persiapan majlis resepsi dengan lancar dan lebih sempurna.

1. Set bajet

Ini adalah antara perkara paling penting sekali. Selalunya, jika anda mengunjungi mana-mana penyedia servis berkaitan perkahwinan, antara perkara pertama yang mereka akan tanya adalah berapa bajet anda.

Pastikan anda sudah sediakan bajet untuk setiap item dalam menjayakan majlis anda bersama dengan sumber kewangan juga. Berapa banyak simpanan anda dan pasangan untuk majlis perkahwinan, berapa banyak yang akan disumbangkan ibu bapa dan sebagainya.

Dengan ada gambaran jelas tentang bajet majlis juga, anda boleh tapis mana-mana penyedia servis yang tidak berada dalam lingkungan bajet anda. Kiranya, boleh jimat masa juga daripada menilik satu-satu ‘booth’. Kurang sikit pening kepala.

2. Tahu Apa Yang Anda Mahu

Kalau anda dan pasangan memang mahu sediakan bulat-bulat kepada perancang perkahwinan anda tidak apalah. Tapi jika sebaliknya, pastikan anda dan pasangan sudah tahu apa yang anda berdua mahukan. Ini adalah supaya anda berdua lebih fokus.

Pastikan juga anda sudah survey sikit-sikit untuk tahu harga pasaran yang biasa untuk perbandingan harga. Namun, adalah sesuatu yang agak bijak juga untuk anda bersikap terbuka pada fasa ini kepada idea-idea yang anda baru jumpa di sana.

3. Buat Kajian

Sekarang ini banyak penyedia servis perkahwinan yang mempunyai akaun media sosial juga. Daripada pelamin, katering, jurufoto, jurumekap hinggalah kepada ‘doorgift’. Cuba anda risik sedikit di akaun sosial mereka.

Anda boleh tahu stail hasil kerja dan mungkin juga baca testimonial daripada pelanggan terdahulu mereka. Google juga apa yang patut. Reputasi mereka di media sosial bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.

4. Jangan Mengalah Kepada Tekanan Sekitar

Kadang kala ada vendor yang sedikit menekan anda untuk membuat pengesahan tempahan pada saat itu juga. Jangan mengalah. Melainkan anda dan pasangan benar-benar puas hati dan suka, jangan mengalah dengan tekanan sekitar.

Kuatkan sedikit diri anda dan buat keputusan hanya apabila anda dan pasangan benar-benar yakin. Belanja kahwin bukan murah, jadi, pastikan anda buat keputusan yang tepat agar tidak menyesal.

5. Pergi Awal

Jangan pergi di saat akhir pameran. Pergi pada hari pertama pameran adalah langkah terbaik. Jika anda tidak suka bersesak, cuba elakkan waktu puncak. Jika anda pergi awal, anda sekurang-kurangnya ada masa yang cukup untuk fikir dalam-dalam sebelum membuat keputusan tentang apa-apa tawaran yang mungkin hampir menambat hati anda.

Anda boleh balik, fikir elok-elok bincang dengan keluarga jika perlu dan barulah buat keputusan yang bersesuaian. Setelah keputusan dibuat barulah datang semula ke pameran untuk dapatkan pakej yang betul-betul sesuai dengan majlis anda.

6. Tanya

Anda tak faham apa-apa, anda tanya sahaja. Walaupun mungkin perkara itu kedengaran keanak-anakkan, anda tanya sahaja. Jangan malu-malu. Tentang fabrik, tentang jenis kertas untuk album, pelamin atau apa-apa sahaja, tanya jika anda tidak pasti.

7. Peka

Pastikan anda peka dengan setiap butir penting yang dilontarkan vendor. Jika anda mencari pakej persalinan perkahwinan, tanya tentang jenis fabrik yang disediakan dan sebagainya. Ada yang hanya menyediakan fabrik asas sahaja.

Google apa yang patut jika perlu. Lebih bagus jika anda sudah ada rekaan baju yang anda gemari supaya anda boleh tanya terus berapa yang perlu anda tambah untuk mendapatkan baju seperti yang diidamkan.

8. Have fun

Yang paling penting dalam membuat persiapan perkahwinan adalah dengan tidak stress sangat tentangnya. Memanglah ada banyak yang perlu diatur, dibayar, disiapkan, ditempah dan sebagainya.

Tapi jika anda dan pasangan asyik bermasam muka sebab stress tak best kan. Kalau pasangan nak tengok apa-apa vendor, anda layankan sahaja. Semua benda berat dan penuh rasa payah pun akan menjadi lebih mudah apabila dilalui bersama, kan?